Siri Puasa di UK (Bahagian 1)

Thursday, 19 July 2012 0 comments
(Ramadhan lepas merupakan antara Ramadhan yang tidak dapat saya lupakan. Izinkan saya kongsikan pengalaman saya berpuasa di bumi UK sempena menghadapi bulan mulia yang bakal menjelang. Semoga bermanfaat bagi mereka yang berpuasa di UK tahun ini)


Siri Puasa di UK 
Bahagian 1: Kepelbagaian Manusia

Oleh: Hariz Said (Editor)


Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada kenalan saya di masjid yang memberikan saya peluang untuk menjadi salah satu petugas di masjid pada bulan Ramadhan. Kerjanya senang sahaja. Sediakan makanan untuk 100 orang berbuka, kemas, bersihkan dan kunci masjid. Pada waktu itulah, saya betul-betul didedahkan kepada pelbagai ragam manusia. 

Boss saya dan rakan sekerja saya terdiri daripada orang yang berasal dari tempat yang berlainan. Keluarga Abdul Rashid berasal dari Pakistan. Ahmad1 dan Muhammad berasal dari Somalia. Ahmad2 berasal dari Ivory Coast tetapi telah duduk beberapa tahun di Perancis dan UK. Abul Nasser berasal dari Yemen. Lagi satu pula, astaghfirullah, lupalah nama, berasal dari Eritrea. Seronok bekerja dengan mereka. Memang lain daripada bekerja dalam PBL group saya yang kebanyakan mereka merupakan orang bukan Islam. Lain juga daripada bekerja dalam Persatuan Pelajar Islam (LivISOC) yang didominasikan oleh '3rd generation British South Asian Medical Students (British SAMS)'. Mereka mempunyai perwatakan yang sangat berbeza antara satu sama lain. Abdul Rashid sangat serius dalam membuat kerja dan selalu sebut mengenai etika bekerja. Ahmad As-Somali pula selalu kelihatan tenang dan dalam apa-apa keadaan, dia akan pesan agar redhalah terhadap apa-apa yang berlaku. Muhammad pula sangat pintar dan selalu cari jalan untuk memudahkan kerja kerana dia hanya boleh tolong antara waktu dia pulang kerja dan pulang ke keluarganya. Ahmad Al-Faransi (Sebab dia boleh bertutur dalam bahasa Perancis) pula tegas dan dialah yang paling kuat bekerja dan terakhir untuk berhenti bekerja.  Mamat dari Etritrea itu pula sedang menghafal Al-Quran maka dia melagukan surah yang dihafalnya sambil bekerja. Abul Nasser pula boss yang kuat bekerja meskipun sudah berusia 70-an. Hasil daripada pengalaman dan latar belakang mereka yang berbeza, pengalaman itu telah mentarbiahkan diri saya untuk bekerja dengan orang yang bukan sahaja berlainan bangsa tetapi berlainan taraf pendidikan, umur, pekerjaan dan status kekeluargaan (bujang, anak, suami, ayah, datuk). MasyaAllah, memang betul bahawa Allah telah jadikan kita berbeza-beza agar kita saling memahami antara satu sama lain.

Saya ada beberapa cerita mengenai waktu berbuka. Ada yang menyentuh hati seperti peristiwa orang-orang tua Somali mengejar kami untuk berikan makanan yang isteri dan anak mereka buat dan ada pula cerita lucu seperti waktu samosa dalam pinggan saya dicuri apabila saya menoleh belakang untuk menyahut panggilan boss saya. Biasalah, masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan. Itulah cabaran bermasyarakat. Kena hidup bersama mereka yang kemungkinan begitu berbeza dengan kita. Antara benda yang sedap saya memandang di Masjid ialah selain golongan tua yang berhak mendapat layanan istimewa, semua dilayan sama sahaja tanpa mengira latar belakang. Tidak kiralah sama ada budak-budak ataupun boss syarikat, semua diberikan makanan dan minuman yang sama banyak dan ditegur apabila lupa adab berbuka. Apabila bekerja di tempat sebegitulah, saya perasan begitu indahnya mendengar pelbagai bahasa dalam satu bilik. Ada yang bercakap dalam bahasa Arab tetapi dalam dialek-dialek yang berbeza; bahasa negara eropah seperti Yunani, Perancis, dan Jerman; dan juga bahasa orang Islam tempatan seperti Somali, Urdu... Eh, Melayu pun ada. 

Dalam masjid pula, sambil tunggu syif bekerja, saya suka berborak dengan pemuda-pemuda masjid. Benda yang saya sangat suka mengenai masjid ini ialah banyak pemuda datang dan jadikan masjid sebagai tempat penemuan pada setiap waktu solat bukan sahaja Maghrib dan Isya'. Ada juga yang datang ziarah mengikut jemaah Tabligh. Lagi satu yang tidak pernah saya hadapi di Malaysia ialah percanggahan manhaj. Lumrah hidup manusia utk berselisih pendapat atas kelemahan kita menentukan kebenaran. Ini bukan sekadar 8 rakaat atau 20 rakaat, kawan-kawan saya bercanggah pendapat dari segi manhaj. Yang Salafi, akan menekankan penafsiran hadith secara literal. Yang Sufi pula, membenarkan amal ibadah yg bersandarkan nas yang lemah. Yang Tabligh pula, tekankan ajak org ke Masjid daripada membincangkan permasalahan ikhtilaf. Yang bijak sedikit pula, membincangkan fiqh awlawiyat dan menghormati perbezaan pendapat. Kadang-kadang, kami mengadakan perbincangan yang sihat tetapi kadang-kadang, saya rasa kami melampaui batas. Walau bagaimanapun, apabila tiba waktu solat, kami solat bersama dan bersalaman apabila berjumpa dan berpisah. Biarlah kita berselisih pendapat tetapi janganlah kita berpecah kerananya.

Sebenarnya, di Malaysia, kita masih tidak memahami konsep kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) kerana di Malaysia, 90% orang Islam ialah orang Melayu dan kami suka duduk dalam kelompok yang sama kepala. Isu integrasi antara kaum di Malaysia pula sering diketepikan oleh masyarakat dengan alasan masyarakat berlainan kaum adalah terlalu berbeza dan cukup sekadar hormat-menghormati. Kita tidak pernah meraikan kepelbagaian rakyat. Ini berbeza dengan apa yang saya hadapi. Walaupun orang-orang Islam di sini mempunyai akidah yang sama, kami sangat berbeza dari pelbagai aspek yang lain. Tetapi, oleh sebab kami bersaudara, kami betul-betul menerima perbezaan kami dan saling mengasihi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. Al-Hujurat(49): 10


0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB