Artikel Adab Ikhtilat (Post-KuMBu): Batasan-batasan Percampuran Lelaki dan Perempuan

Tuesday, 1 May 2012 0 comments

Batasan-batasan Percampuran Lelaki dan Perempuan

Oleh: Ustaz Al-Amir Tarmizi

Artikel asal: http://mohdtarmizi.wordpress.com/2012/04/27/batasan-batasan-percampuran-lelaki-dan-perempuan/ 

Seringkali perbahasan-perbahasan tentang hukum-hukum pergaulan lelaki dan perempuan , iaitu sama ada ia diharuskan atau sebaliknya terus menjadi perdebatan yang tiada noktah di kalangan ‘ulamā’ sejak dahulu lagi. Maka , kita dapati bahawa di sana sini wujudnya pelbagai fatwa, pendapat dan pandangan mengenainya mengikut tahap keilmuan dan zaman di mana perkara tersebut berlaku. Dalam hubungan ini, isu pergaulan lelaki dan perempuan menjadi lebih signifikan mutakhir ini disebabkan wujudnya tuntutan-tuntutan yang tidak dapat dielakkan lagi yang memerlukan penglibatan golongan lelaki dan perempuan secara bersama akibat perubahan-perubahan pesat perkembangan ketamadunan manusia dalam bidang-bidang pendidikan, perubatan, sains, teknologi, komunikasi, kewangan dan sebagainya. Jadi, sudah tentulah terdapat banyak perkara berbangkit berhubung persoalan ini yang perlu dirungkai supaya pergaulan lelaki dan perempuan berada di dalam kerangka yang dibenarkan shara‘.
Namun begitu, dalam isu ini – kerapkali dikatakan – orang-orang perempuan lebih banyak dijadikan fokus berbanding orang-orang lelaki, seolah-olah segala “dosa” berpunca daripada mereka, manakala kaum lelaki pula “terlepas”. Lalu, timbullah pandangan-pandangan yang skeptikal terhadap ad-dīn(Islam) dalam menyelesaikan persoalan ini sehingga wujudnya anggapan bahawa Islam amat bias kepada kaum lelaki! Persoalannya, benarkah Islam bias kepada kaum lelaki ataukah para ‘ulamā’ dan kita semua gagal memahami keluasan hukum dan kesederhanaan Islam?
Pertemuan lelaki dan perempuan berlaku di zaman RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, ṣaḥābat dan tābi‘īn
Sebenarnya, pertemuan (atau percampuran) lelaki dan perempuan berlaku juga pada zaman RasūlulLāh Ṣ.‘A.W dalam pelbagai situasi seperti ṣalāt jamā‘ah, menuntut ilmu di masjid, musim haji dan umrah, peperangan-peperangan, ṣalāt Juma‘at, ṣalāt dua hari raya, upacara-upacara kemasyarakatan, dan sebagainya. Perkara ini telah dihuraikan secara terperinci oleh ‘Abd-ul-Ḥalīm Muḥammad ’Abīy Shuqqah di dalam ensiklopedianya Taḥrīr-ul-Mar’ah Fī ‘Aṣr-ir-Risālah yang mana beliau – dalam mengambil hukum-hukum dan dalīl-dalīl – berpegang kepada Al-Qur’ān-ul-Karīm dan sunnah nabawiyyah terutamanya kitab-kitab Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy dan Muslim [1].
Begitu juga, perempuan muslimah di zaman ṣaḥābat dan tābi‘īn bertemu dengan orang-orang lelaki, dan lelaki bertemu perempuan di pelbagai upacara keagamaan dan keduniaan, dan ini tiadalah tegahan secara mutlak dari segi shara‘, bahkan ianya dibolehkan sekiranya terdapat sebab-sebab dan memenuhi kriteria-kriterianya (yang telah digariskan oleh shara‘) [2].
Keadaan-keadaan percampuran lelaki dan perempuan
Terdapat tiga keadaan percampuran lelaki dan perempuan seperti berikut:
Pertama, percampuran perempuan dengan mahramnya dan ini tiada keraguan pada keharusannya;kedua, percampuran perempuan dengan lelaki ajnabīy kerana tujuan yang rosak, dan ini tiada keraguan pada keharamannya; dan , ketiga, percampuran perempuan dengan lelaki ajnabīy di tempat ilmu, kedai, perpustakaan, hospital, tempat keramaian dan seumpamanya [3]. Maka itu, percampuran antara lelaki dan perempuan dalam kategori ketiga inilah yang terdedah kepada pelbagai pendapat dan pandangan.
Pandangan yang ekstrem dan bebas adalah ditolak
Yang paling penting untuk ditegaskan ialah bahawa bukanlah setiap percampuran itu ditegah (olehshara‘), seperti yang digambarkan (terdahulu) dan (kadang-kadang) ia difahami secara ekstrem oleh para pendakwah yang amat keras lagi sempit (pemikiran). Namun begitu, bukanlah setiap percampuran itu dibenarkan (sewenang-wenangnya) sepertimana yang dipelopori oleh para pendakwah yang terikut-ikut dengan gaya kebaratan! [4].
Justeru, pandangan-pandangan yang terlalu “keras” dan ekstrem tidaklah boleh dianggap sepenuhnya menepati ruh Islam yang penuh dengan kesederhanaan dan menjamin hak-hak lelaki dan perempuan selagi mereka memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan shara‘. Jadi, bagaimanakah mungkin kita menerima pandangan-pandangan “sehala” – misalnya pergaulan itu semuanya haram, atau pergaulan itu semuanya dibolehkan? Oleh itu, dalam menentukan hukum-hakam yang padanya terdapat nas-nas yang jelas tentang keharusannya, maka keluasan hukum yang mengambil kira maṣlaḥah dan maqāṣid sharī‘ahyang berpaksikan kepada Al-Qur’ān dan As-Sunnah hendaklah dijadikan panduan.
Adalah menjadi kewajipan ke atas kita – dalam menangani persoalan ini – untuk berpegang teguh dengan sebaik-baik petunjuk, iaitu petunjuk Muḥammad Ṣ.‘A.W, petunjuk khulafā’-ur-Rāshidīn dan para ṣaḥābat yang terpilih di mana dengannya (petunjuk tersebut) jauh daripada cara Barat yang menghalalkan (pergaulan bebas) dan cara Timur yang ekstrem (dalam menyekat pergaulan) [5].
Partisipasi perempuan dan lelaki dalam ibadah
Dan, apabila kita mengamati di dalam sebaik-baik petunjuk (Muḥammad Ṣ.‘A.W), tidaklah berlaku demikian itu (peminggiran perempuan dalam mengambil bahagian kemasyarakatan – pen.) seperti di zaman-zaman kemunduran orang-orang Islam, (sebaliknya) orang perempuan menghadiri ṣalāt jamā‘ah dan juma‘at di masjid RasūlulLāh Ṣ.‘A.W. Malah, baginda telah menggesa mereka untuk mengambil kedudukan di dalam saf-saf yang terakhir di belakang saf-saf orang-orang lelaki. Maka itu, kedudukan saf (perempuan) yang paling hampir dengan (saf) yang terakhir (paling belakang) adalah lebih utama kerana wujudnya kebimbangan bahawa terlihatnya aurat-aurat lelaki di hadapan mereka, sedangkan kebanyakan orang lelaki tidak mengenali seluar-seluar, dan tidak terdapat sebarang pemisah antara lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan, (sama ada) pemisah daripada binaan, kayu, tabir atau sebagainya [6].
Mereka pada mulanya masuk melalui pintu yang sama sehinggakan berlakunya asakan (antara mereka) keluar dan masuk. Lalu, RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya) : “Alangkah elok jika kita tinggalkan pintu ini (khas) untuk perempuan [7].” Maka selepas itu para ṣaḥābat mengkhususkannya bagi mereka (perempuan), dan jadilah ia dikenali sehingga kini dengan nama Bab-un-Nisā’ (pintu perempuan). Selain itu, mereka juga menghadiri ṣalāt Juma‘at dan mendengar khutbah sehingga salah seorang daripada mereka menghafaz sūrah Qāf daripada lidah RasūlulLāh Ṣ.‘A.W disebabkan kekerapan mendengarnya ketika baginda membacanya di dalam khutbah [8]. (Diriwayatkan) daripada anak perempuan Ḥārithah bin An-Nu‘mān, beliau berkata : “Tidaklah aku menghafaz (sūrah) Qāf kecuali daripada (lidah) RasūlulLāh Ṣ.‘A.W, baginda membacanya (ketika) berkhutbah (pada) setiap (ṣalāt) Juma‘at [9].”
Begitu juga, mereka menghadiri ṣalāt dua hari raya dan bersama-sama (dengan orang-orang lelaki) di dalam (sambutan) perayaan Islam yang besar ini yang menghimpunkan golongan dewasa dan kanak-kanak di tempat lapang, mereka bertahlīl (dan) bertakbīr (bersama-sama) [10]. (Diriwayatkan) daripada ’Ummu ‘Aṭiyyah, beliau berkata : “Nabīy Ṣ.‘A.W telah memerintahkan kami keluar di dua hari raya (termasuklah) kanak-kanak perempuan yang sudah baligh dan anak-anak gadis , dan baginda memerintahkan perempuan-perempuan yang sedang haid supaya menjauhi tempat ṣalāt orang-orang muslimīn [11].”
Sunnah inilah yang telah dimatikan oleh orang-orang Islam di sebahagian besar negara atau keseluruhannya kecuali mutakhir ini ia dilakukan oleh para pemuda yang mempunyai kesedaran Islam untuk menghidupkan kembali sunnah yang telah mati itu. Misalnya, sunnah i‘tikāf di sepuluh (malam) terakhir daripada (bulan) Ramadan dan sunnah kehadiran perempuan (pada) ṣalāt hari raya [12].
Partisipasi perempuan dan lelaki dalam bidang ilmu
Orang-orang perempuan menghadiri majlis-majlis dan pengajian ilmu Nabīy Ṣ.‘A.W bersama-sama orang-orang lelaki. Dan, mereka bertanyakan (baginda) tentang urusan ad-dīn (Islam) mereka daripada perkara-perkara yang kadang-kadang malu ditanya oleh orang-orang (Islam) masa kini, hinggakan ‘Ā’ishah r.‘a telah memuji perempuan-perempuan ‘Anṣār yang tidak malu bertanyakan perkara berkenaan, malah mereka bertanyakan baginda tentang junub, mimpi (yang menyebabkan mandi wajib), mandi wajib, haid, istiḥāḍah dan sebagainya.
Dan, mereka masih dahagakan ilmu yang mereka pelajari bersama-sama kaum lelaki di sisi RasūlulLāh Ṣ.‘A.W dan mereka juga tidak berpuas hati (dengan ilmu yang dipelajari), lalu mereka memohon baginda supaya menjadikan satu hari khas untuk mereka, supaya mereka tidak diatasi oleh lelaki-lelaki dan tidak perlu bercampur dengan mereka (lelaki-lelaki), dan mereka berkata dengan jelas mengenai perkara ini : “Perempuan-perempuan itu berkata kepada Nabīy Ṣ.‘A.W, orang-orang lelaki telah banyak mengambil masa kamu berbanding kami, maka kamu jadikanlah bagi kami satu hari daripada diri kamu, lalu baginda menjanjikan mereka satu hari untuk mereka menemui baginda di mana (pada hari tersebut) baginda (meberikan) nasihat dan perintah. Maka, sebahagian daripada sabda baginda kepada mereka (ialah mafhūmnya) : “Sesiapa daripada kalangan kamu seorang perempuan yang mempunyai tiga orang anak yang meninggal sebelumnya, kecuali baginya (perempuan itu) terlindung daripada api (neraka).” Lalu seorang perempuan berkata: “Dan, (jika) dua orang (anak yang meninggal)?”. Sabda baginda: “(Ya!) dan, (jika) dua orang (anak yang meninggal) [13].”
Berhati-hati pergaulan dengan ipar duai
Ramai orang mengambil ringan tentang pergaulan dengan ipar duai. Perkara ini berlaku disebabkan hubungan kekeluargaan yang rapat terjalin antara kedua-dua pihak suami dan isteri melalui ikatan pernikahan. Misalnya, seorang lelaki – kadang-kadang – berkhulwah dengan kakak atau adik ipar di dalam sebuah rumah atau menumpang kenderaan atau dalam pelbagai keadaan. Sedangkan , terdapat ḥadīth ṣaḥīḥ yang sangat jelas tentang perkara ini. Diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Āmir : Bahawa RasūlulLāh Ṣ.‘A.W telah bersabda (mafhūmnya) : “Berhati-hatilah kamu (masuk) menemui perempuan!” Lalu, seorang lelaki daripada golongan ’Anṣār berkata: “Wahai RasūlulLāh! Apakah pendapatmu tentang ipar-ipar (perempuan)?” Sabda baginda: “Ipar-ipar itu adalah kematian [14].” Ḥadīth ini memberikan amaran yang sangat keras berhubung pergaulan dengan ipar duai disebabkan pergaulan yang rapat – hubungan kekeluargaan – tanpa batasan, sehinggakan baginda menamakannya dengan kematian, iaitu perkara yang paling ditakuti di dunia seperti yang diucapkan oleh seorang penyair: “Dan, kematian itu perkara besar paling ditakuti, ianya pasti dirasai oleh setiap makhluk [15].”
Yang jelas bahawasanya RasūlulLāh Ṣ.‘A.W menamakannya (sebagai) “kematian” kerana ia boleh membawa kepada kejahatan zina, dan ia (zina) “mematikan” kelebihan (seorang insan), kemuliaan (keturunan) dan ad-dīn (Islam). Dan, sudah tentu RasūlulLāh Ṣ.‘A.W tidak menamakannya kematian, kecuali disebabkan sangat buruknya kesan dan betapa besarnya bahaya (daripada pergaulan tanpa batasan dengan ipar duai – pen.) [16].
Kesimpulan dan garis panduan [17]
Bahawa pertemuan antara lelaki dan perempuan tidaklah haram, bahkan ianya harus dan dituntut jika terdapat tujuan yang baik seperti (mencari) ilmu yang bermanfaat atau (melakukan) amalan ṣāliḥ, projek kebajikan, atau aktiviti (yang elok) atau seumpamanya yang mana ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada kerjasama kedua-dua pihak dan saling menolong dalam merangka, memulakan dan melaksanakan (aktiviti tersebut).
(Namun begitu) tidaklah bermakna demikian itu (keharusan pertemuan antara lelaki dan perempuan – pen.) menghakis batasan-batasan (shara‘) antara kedua-duanya, dan mengabaikan ikatan-ikatansharī‘ah yang mempunyai peraturan bagi setiap pertemuan antara kedua-dua pihak. Sesetengah pihak menyangkakan diri mereka adalah “malaikat yang suci” yang tidak perlu dibimbangkan (tentang tingkah laku mereka – pen.) dan (perlakuan orang lain – pen.) ke atas mereka di mana mereka dengan itu mahu memindahkan (budaya) masyarakat Barat kepada kita. Sesungguhnya yang wajib pada demikian itu ialah bersama-sama dalam kebaikan, saling menolong di atas kebajikan dan taqwa di dalam lingkungan batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam, antaranya:

1. Beriltizam dengan menahan pandangan daripada kedua-dua pihak
Maka , janganlah dia memandang kepada aurat, dan tidak memandang dengan (disertai) keinginan shahwat, dan tidak terlalu lama memandang tanpa sebarang keperluan. Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Katakanlah olehmu kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan daripada pandangan-pandangan mereka dan memelihara kemaluan-kemaluan mereka; Demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya AlLāh Maha Halus pengetahuan-Nya tentang apa-apa yang mereka lakukan; Dan, katakanlah olehmu kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menahan daripada pandangan-pandangan mereka dan memelihara kemaluan-kemaluan mereka.” – An-Nūr: 30-31
2. Keiltizaman pihak muslimah untuk memakai pakaian mengikut shara‘ yang sopan
Maksudnya, pakaian yang menutup seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan,tidak nipis dan tidak menampakkan (bentuk tubuh badan). Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali apa-apa yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka melabuhkan (penutup kepala sehingga) menutup belahan leher baju mereka.” – An- Nūr: 31; Dan, terdapat pelbagai riwayat yang ṣaḥīḥ daripada para ṣaḥābat bahawa apa-apa yang zahir daripada perhiasan itu ialah muka dan kedua-dua tapak tangan.
Dan, alasan perintah-Nya tentang mengenakan pakaian yang sopan seperti firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenali , maka (dengan itu) mereka tidak disakiti.” – Al-’Aḥzāb: 59; Maksudnya ialah , bahawa pakaian yang sopan membezakan seorang perempuan yang menjaga kehormatan lagi baik (akhlak) daripada seorang perempuan yang nakal lagi cuai (rosak akhlak), maka perempuan yang berpakaian sopan (mengikut shara‘) tidak akan terdedah dengan disakiti, kerana bentuk pakaian dan kesopanannya akan mendorong setiap orang yang melihat untuk menghormatinya.
3. Keiltizaman seorang muslimah dengan adab dalam setiap sesuatu, khasnya dalam hubungan bersama-sama orang-orang lelaki
3.1 Dalam percakapan, iaitu jauh daripada (percakapan berbentuk) mendayu-dayu dan merangsang. Firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Maka, janganlah kamu merendahkan (dengan lunak) perkataan kamu , lalu ia (boleh) menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya (ada) “penyakit”.”– Al-’Aḥzāb: 32
3.2 Dalam berjalan, seperti firman AlLāh Ta‘ālā (yang bermaksud) : “Dan, janganlah mereka menghentakkan dengan kaki-kaki mereka supaya diketahui (orang) apa-apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.” – An-Nūr: 31; Dan, bahawa dia jadi seperti orang yang AlLāh sifatkan di dalam firman-Nya (yang bermaksud) : “Maka telah datanglah kepadanya salah seorang daripada kedua-duanya (perempuan) dia berjalan dalam keadaan malu-malu.” – Al-Qaṣaṣ: 25
3.3 Dalam pergerakan, maka dia tidak menghayun-hayun dan tidak berlenggang lenggok, seperti orang-orang yang disifatkan di dalam ḥadīth ash-sharīf dengan perempuan-perempuan yang menyimpang (daripada kebenaran), mendorong (orang lain kepada kejahatan) [18] dan tidak menampakkan dirinya sebahagian daripada golongan yang keterlaluan berhias sama ada berhias dengan cara jahiliyyah zaman dahulu dan kini.
4. Tidak keterlaluan berwangi-wangian
Bahawa dia menjauhkan dengan apa-apa cara dari memberikan kesan dengan berwangi-wangian (yang keterlaluan) yang sepatutnya ia (berwangi-wangian) di rumah, bukannya di jalanan dan bukan juga dalam pertemuan dengan lelaki-lelaki.
5. Tidak berkhulwah tanpa mahram dan berhati-hati dengan ipar duai
Ancaman keras (oleh shara‘) ke atas lelaki dan perempuan berkhulwah tanpa kehadiran mahram. Maka, sesungguhnya banyak ḥadīth ṣaḥīḥ yang melarang perlakuan tersebut (seperti) sabda RasūlulLāh Ṣ.‘A.W (mafhūmnya) : “Ketahuilah olehmu! Bahawa tidak bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang perempuan kecuali adalah yang ketiga daripada kedua-duanya itu shayṭān [19]. Ia ibarat tidak harus bersunyian antara api dan kayu kering (kecuali ia akan terbakar – pen.).
Dan, khususnya apabila bersunyian dengan salah seorang daripada keluarga suami, dan terdapat ḥadīth mengenai perkara ini . RasūlulLāh Ṣ.‘A.W bersabda (mafhūmnya): “Berhati-hatilah kamu (masuk) menemui perempuan!” Lalu, seorang lelaki daripada golongan ’Anṣār berkata: “Wahai RasūlulLāh! Apakah pendapatmu tentang ipar-ipar (perempuan)?” Sabda baginda: “Ipar-ipar itu adalah kematian [20].” Maksud baginda bahawa ia adalah sebab kemusnahan, kerana dia duduk dalam tempoh yang lama dan ini tentunya bahaya yang sangat besar.
6. Pertemuan atas sebab keperluan
Bahawa pertemuan itu di dalam batasan yang disebabkan keperluan yang tidak dapat dielakkan, dan juga atas dasar kerjasama yang terkawal tanpa menyebabkan perempuan terkeluar daripada fitrah kewanitaannya atau (tanpa) membawa fitnah dan gosip liar, atau (tanpa) melalaikannya dari menunaikan kewajipannya yang suci dalam menjaga rumah tangga dan mendidik anak-anak.
Rujukan:
[1] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/component/content/article/5191.html
[2] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[3] Muḥammad bin Ibrāhīm Āl-ish-Shaykh, Ḥukm-ul-Ikhtilāṭ, m.s 3, cetakan pertama, Dār Ibn-il-Athīr, Riyaḍh, Saudi Arabia, 2000
[4] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[5] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[6] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[7] Imām ’Abū Dāwūd r.ḥ, Sunan ’Abīy Dāwūd , Kitāb-uṣ-Ṣalāt, nombor 462
[8] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[9] Imām Muslim r.ḥ (meninggal 261H), Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-ul-Jumu‘ah – Bāb Takhfīf-iṣ-ṣalāt Wal Khuṭbah, nombor 873; Imām ’Aḥmad r.ḥ (meninggal 241H), Musnad ’Aḥmad, Min Musnad-il-Qabāil, nombor 27081; Imām An-Nawawīy r.ḥ (meninggal 676H), Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al- Ḥajjāj, m.s 161, juz. 6, cetakan pertama,___,1929
[10] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[11] Imām Muslim r.ḥ, Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb Ṣalāt-il- ‘Aydayn, nombor 890; Imām An-Nawawīy r.ḥ, Al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al- Ḥajjāj, m.s 178, juz. 6, cetakan pertama,___,1929
[12] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/library/53/2579.html
[13] Imām Bukhārīy r.ḥ (meninggal 256H), Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb-ul-‘Ilm, nombor 102; Imām ’Aḥmad r.ḥ, Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-Mukthirīn, nombor 10903
[14] Imām Bukhārīy r.ḥ, Ṣaḥīḥ-ul-Bukhārīy, Kitāb-un-Nikāḥ, nombor 4934; Imām Muslim r.ḥ, Ṣaḥīḥ Muslim, Kitāb-us-Salām – Bāb Taḥrīm-il-Khulwah Bil ’Ajnabiyyah Wad Dukhūl ‘Alayhā, nombor 2172
[15] Dr. Riyāḍ bin Muḥammad Al-Musaymīrīy, Al-Ikhtilāṭ Bayn-al-Jinsayn ’Aḥkāmuhu Wa Āthāruhu, m.s 85, cetakan pertama, Dār Ibn-il-Jawzīy, Dammām, Saudi Arabia, 2010
[16] Dr. Riyāḍ bin Muḥammad Al-Musaymīrīy, ibid., m.s 86
[17] Dr. Yusuf Al-Qaraḍāwīy, http://www.qaradawi.net/fatawaahkam/30/1448.html
[18] Imām ’Aḥmad r.ḥ, Musnad ’Aḥmad, Bāqīy Musnad-il-Mukthirīn, nombor 8451; Imām Mālik r.ḥ (meninggal 179H), Al-Muwaṭṭā’, Kitāb-ul-Jāmi‘- Bāb-ul-Malābis, 1694
[19] Imām At-Tirmidhīy r.ḥ, Sunan At-Tirmidhīy, nombor 2165
[20] Rujuk nombor [14]

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB