Solat Jama' dan Qasar Apabila Bermukim Lebih Daripada 3 Hari

Tuesday 1 May 2012 1 comments
Musafir hendaklah mempunyai tujuan yang tidak bercanggah dengan syara'
Assalamu'alaikum  w.b.t
Ustaz, kawan saya kini berada di Norwich bermula hari Ahad sehingga hari Jumaat untuk buat projek kursus kejuruteraan. Dia ada niat untuk bermukim di sini lebih daripada 3 hari dan dia tidak pasti sama ada dia dibenarkan solat jama' dan qasar sewaktu berada di sana. Bolehkah dia solat jama' dan qasar sewaktu berada di sana? 
- Muhammad Hariz Bin Sa'id, Liverpool 
Jawapan saya tentang persoalan ini seperti berikut (Saya ringkaskan sahaja sebab terdapat perbahasan yang sangat panjang tentang jama' & qasar):

1. Dalilnya ialah ayat 101, surah an-Nisa';
2. Ada pelbagai pendapat tentang musafir yang niat bermukim dan yang tidak niat bermukim;
3. Jika niat bermukim:
3.1. Mazhab Hanafi: Niat bermukim lebih 15 hari, tidak boleh qasar, jika niat bermukim kurang 15 hari dibolehkan qasar
3.2. Mazhab Maliki & Shafi'i : Niat bermukim 4 hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik), tidak boleh qasar.
3.3. Mazhab Hanbali : Niat bermukim lebih 4 hari atau lebih 20 hari, tidak boleh qasar. Mazhab Hanbali memasukkan hari sampai dan hari balik ke dalam bilangan dikira bermukim atau tidak.

4. Jika tidak niat bermukim: Dibolehkan qasar selama mana tempoh kerja/urusan belum selesai. Terdapat banyak hadis yang mengharuskannya. Mazhab Shafi'i juga berpendapat sedemikian.

Dalam hubungan ini, NIAT memainkan peranan. Jadi dalam persoalan sahabat anda, beliau boleh melakukan jama' & qasar sekali gus meskipun beliau telah berniat bermukim melebihi 3 hari, iaitu dengan mengambil pandangan Mazhab Hanafi.

Antara syarat-syarat solat jama' & qasar

1. Perjalanan yang panjang dlm kadar 2 marhalah (pandangan jumhur);
2. Tujuan musafir yang harus (ilmu, kursus, dakwah dsb) , bukan tujuan yang haram (musafir untuk mencuri, komplot jahat dsb);
3. Telah melepasi tempat asal permukimannya;
4. Mempunyai tempat yang hendak dituju dengan pasti atau tujuan;   
5. Mempunyai pandangan sendiri. Maksudnya, jika seseorang mengikut orang lain (contoh isteri ikut suami, pelajar ikut guru) tanpa diketahui ke mana hendak dituju, maka dia tidak boleh qasar (lihat no.4 di atas);
6. Tidak berimamkan orang yang bermukim. Jika dia berimamkan orang yang bermukim, dia wajib mengikuti imam (sempurnakan solat); dan
7. Berniat jamak & qasar ketika takbiratulihram (Mazhab Shafi'i & Hanbali). Bagi Imam Malik, memadai niat pada solat qasar yg pertama. Mazhab Hanafi: Memadai niat musafir sebelum solat, jadi apabila seseorang sudah niat untuk bermusafir, dia sudah diharuskan qasar dan tidak perlu berniat ketika takbiratulihram setiap kali solat. 

Harap dapat memenuhi pertanyaan anda.

WalLahua'lamubissawab.
Dijawab oleh Ustaz Al-Amir Tarmizi
Layarilah website ustaz tempatan kita: http://mohdtarmizi.wordpress.com/

1 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB