Perjuangan Islam Memerlukan Kita

Tuesday, 13 March 2012 0 comments
Perjuangan Islam Memerlukan Kita
Oleh: Muhammad Hariz Bin Sa'id
(mhshariz89@yahoo.com.my)


Kita hidup pada zaman apabila Islam berada di tahap yang rendah dan lemah. Adakah Islam itu sememangnya lemah sejak permulaannya? Atau adakah Islam sebegini disebabkan oleh umat Islam meninggalkan kerja Islam kepada ulama, ustaz, pak lebai dan imam sahaja? Mari kita teliti firman Allah SWT dalam Al-Quran:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung (Ali Imran: 104)

Menurut ayat di atas,  Allah tidak sebut ulama, ustaz, pak lebai dan imam. Allah menyeru kepada hamba-Nya tanpa mengira umur, bangsa, dan kerjaya. Maka, bukankah jelas bahawa ayat ini ada kena-mengena dengan diri kita meskipun kita bukan ahli aliran 'agama'?

Pada tahap ini, mesti kawan-kawan mempunyai soalan seperti ini bermain dalam kepala anda: 

'Saya kena jadi ustaz atau ustazah ke?' 
'Kena ambil ijazah dan mengeluarkan hukum ke?' 
'Kena ajar orang mengaji ke?' 
'Kena keluar mengajak orang solat di masjid ke?'
'Menjadi pendakwah mengajak orang bukan Islam ke Islam?'

Pada hari ini, amar makruf nahi munkar bukannya sekadar mengajak manusia kepada rukun-rukun Islam tetapi merupakan satu perjuangan menegakkan perintah Allah pada bumi ini. Oleh sebab Islam bersifat syumul (merangkumi semua aspek kehidupan), Islam perlu diperjuangkan dalam pelbagai bidang bukan sahaja medan fatwa. Apa-apa sahaja yang kita buat dalam hidup ini telah disentuh oleh Islam. Ingatlah bahawa Allah telah jadikan kita dengan tujuan yang satu ini:

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku (Adz-Dzariyat:56)
Sebelum saya teruskan, saya minta kawan-kawan merenung bersama. Lihat anggota badan kita. Bukankah setiap anggota badan kita mempunyai fungsi yang khusus untuk membenkarkan kita melakukan proses hidup? Dari jantung yang mengepam darah ke sel darah merah yang membawa oksigen, semua mempunyai peranan. Sekarang, lihat diri secara keseluruhan, adakah kita juga mempunyai fungsi khusus dalam perjuangan menegakkan Islam? Ya, Allah jadikan kita seperti sedia ada untuk tujuan ini. Bukannya satu kebetulan bahawa kita mempunyai minat atau kebolehan tertentu. Allah memberikan minat dan kebolehan itu dengan tujuan kita gunakannya untuk mengabdikan diri kita kepada Allah. 

Cuba fikirkan. Apabila Allah memberikan kita sesuatu kuasa dalam bentuk kebolehan, adakah kita ingin lupa tanggung jawab yang datang bersama kuasa tersebut? Apabila meneliti sejarah dunia Islam, kita mesti pernah dengar nama-nama hebat seperti Imam Syafi'i, Imam Al-Ghazali, Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Rushd, Ibnu Khaldun, dan banyak lagi tokoh yang berjaya. Apa yang menjadi motivasi kejayaan mereka? Bukannya dunia tetapi kesedaran terhadap peranan mereka dalam Islam. Mereka sedar kebolehan yang Allah beri kepada mereka dan mereka mengembangkannya demi Islam.

Bagi mempraktikkan apa yang saya tulis, cuba teliti pernyataan berikut yang mungkin menggambarkan peranan anda dalam perjuangan Islam:

Perjuangan Islam memerlukan ulama untuk mengkaji ilmu Al-Quran dan Hadith supaya umat Islam kenal perintah Allah.
Perjuangan Islam memerlukan askar untuk mempertahankan nyawa dan maruah umat Islam.
Perjuangan Islam memerlukan petani untuk menjana makanan untuk umat Islam beribadah kepada Allah.
Perjuangan Islam memerlukan doktor dan ahli farmasi untuk mengubat hamba-hamba Allah supaya boleh kembali beribadah kepada Allah.
Perjuangan Islam memerlukan saintis untuk mengkaji rahsia ciptaan Allah yang boleh membantu usaha perjuangan Islam.
Perjuangan Islam memerlukan arkitek untuk membina masjid, sekolah dan tempat-tempat pengurusan hal ehwal Islam.
Perjuangan Islam memerlukan jurutera untuk mencipta pelbagai alat dan kenderaan yang membolehkan perjuangan Islam bergerak dengan lancar.
Perjuangan Islam memerlukan ahli ekonomi dan peniaga untuk menstabilkan ekonomi dan memastikan harta umat Islam dibahagikan dengan adil.
Perjuangan Islam memerlukan guru untuk mengajar manusia cara beribadah kepada Allah dan membentuk pejuang-pejuang Islam.
Perjuangan Islam memerlukan ahli politik dan pentadbir untuk menguruskan urusan kenegaraaan berdasarkan Islam.

Jadi, apa-apa sahaja yang kita sedang buat sekarang mempunyai peranan dalam perjuangan Islam. Janganlah kita makan bisikan syaitan dengan memberi alasan seperti sibuk, tiada keyakinan diri, tidak mahu perubahan, dan malas.

Sebenarnya, Islam naik atau turun tidak akan menguntungkan atau merugikan Allah sedikitpun tetapi sedarlah bahawa kita yang memerlukan Islam. Maka, kita kena buat sesuatu untuk menggerakkan jentera perjuangan Islam. Kalau kita inginkan perubahan, kita mestilah bangun daripada tidur yang lena dan mula membuat perubahan di sekeliling. Allah telah sebut bahawa Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri:

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergilitan, di muka dan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (Ar-Ra'd: 11)
Memang saya akui bahawa dunia akan melihat pejuang Islam sebagai ganjil tetapi perkara ini tidak sepatutnya jadi satu kejutan sebab Nabi SAW sendiri pernah sebut. Nabi SAW siap beri jaminan yang baik bagi mereka yang sanggup berpegang pada sunnah yang dilihat bagaikan menggenggam bara api: 

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”  [Hadith Muslim no. 145]
Ayuh, kawan-kawan! Marilah menjadi orang-orang yang ganjil! Marilah kita jadi pejuang Islam dalam bidang masing-masing bagi mengembalikan Islam pada tahapnya yang kuat dan hebat!

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB