Apakah hukum memberi makanan yang mengandungi benda haram kepada orang bukan Islam?

Wednesday, 4 January 2012 0 comments
Apakah hukum memberi makanan yang tersalah beli kerana terdapat benda haram di dalamnya (babi,arak etc) kepada jiran/ orang yang memang dketahui memakannya? Ia adalah hanya bertujuan agar tidak membazir tambahan merapatkan hubungan dengan non-muslim dan tiada pula niat utk menyumbang ke arah kemungkaran spt memabukkan etc.kerana jumlah bahan tersebut amatlah sedikit di dalam makanan itu. Adakah ini dilihat sbg perkara yang niat tidak menghalalkan cara? - Moeiid, Liverpool

(Dijawab oleh Ustaz Mohd Tarmizi, Liverpool)


Terima kasih atas pertanyaan Moeiid. Saya tidak ada masalah dengan sebarang pertanyaan Moeiid, tidak mengganggu meskipun saya sibuk dengan pengajian saya. Al-hamdulilLah ALLAH memudahkan segalanya bagi saya.

Terdapat dua persoalan penting yang Moeiid tanyakan (ringkasnya), iaitu 1) hukum memberikan/menghadiahkan produk/makanan/minuman etc yang haram (bagi Muslim) kepada non-Muslim; dan 2) cara terbaik untuk dilakukan ke atas makanan yang tersalah beli itu. Di sini saya perturunkan jawapan-jawapan seperti berikut:

1) Hukumnya haram berdasarkan matan hadis seperti di bawah:


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ وَعْلَةَ السَّبَإِيِّ مِنْ أَهْلِ مِصْرَ أَنَّهُ سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ عَمَّا يُعْصَرُ مِنْ الْعِنَبِ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ إِنَّ رَجُلًا أَهْدَى لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاوِيَةَ خَمْرٍ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَهَا قَالَ لَا فَسَارَّ إِنْسَانًا فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَ سَارَرْتَهُ فَقَالَ أَمَرْتُهُ بِبَيْعِهَا فَقَالَ إِنَّ الَّذِي حَرَّمَ شُرْبَهَا حَرَّمَ بَيْعَهَا قَالَ فَفَتَحَ الْمَزَادَةَ حَتَّى ذَهَبَ مَا فِيهَا

Daripada 'Abd-ur-Rahman bin Wa'lah As-Sabaiy (beliau adalah) daripada penduduk Mesir, bahawasanya beliau telah bertanya 'AbdulLah bin 'Abbas (r.a) tentang apa-apa yang diperah daripada anggur. Maka Ibnu 'Abbas (r.a) telah berkata : "Sesungguhnya seorang lelaki telah menghadiahkan seuncang penuh arak kepada RasululLah S.A.W. Lalu RasululLah S.A.W bersabda kepadanya (mafhumnya) :" Adakah engkau tahu bahawa sesungguhnya ALLAH telah mengharamkannya? Jawabnya (lelaki), tidak. Maka dia (lelaki) berbisik-bisik kepada seseorang. RasululLah S.A.W bersabda kepadanya mengenai perkara yang dibisikkannya itu. Dia (lelaki) menjawab: " Saya telah menyuruhnya supaya dia menjualkannya (seuncang penuh arak)." Baginda bersabda (mafhumnya): "Sesungguhnya yang ALLAH telah haramkan meminumnya, haram (juga) menjualnya." Beliau ('Abd-ur-Rahman bin Wa'lah As-Sabaiy) berkata : " Maka lelaki itu pun membuka uncang tersebut sehingga habislah apa-apa (isi kandungan) di dalamnya." (Sahih Muslim, Kitab-ul-Musaqah, nombor 1579; Al-Muwatta' Imam Malik, Kitab-ul-Ashribah, nombor 1598; Musnad Ahmad, nombor 2971; Sunan An-Nasai', Kitab-ul-Buyu', nombor 4664).

2) Jelas daripada hadis di atas bahawa sesuatu yang diharamkan kepada Muslim meminumnya, adalah haram dijualkan kepada non-Muslim. Kita perhatikan bahawa tujuan lelaki itu berbisik kepada lelaki lain adalah untuk memintanya menjual uncangan yang penuh arak tersebut di mana lelaki tersebut akan beroleh faedahnya. 

3) Seuncang penuh arak dihadiahkan oleh lelaki tersebut kepada RasululLah S.A.W di mana baginda tidak menerimanya. Perbuatan RasululLah S.A.W (sunnah fi'liyyah) tidak menerimanya sebagai hadiah adalah isyarat jelas bahawa Muslim mestilah menolak apa-apa hadiah yang memang haram bagi umat Islam (dalam peristiwa ini ialah arak). Jika dia menerimanya, dia hendaklah membuangkannya kemudian.

4) Alasan untuk mengelakkan pembaziran atau merapatkan hubungan dengan non-Muslim juga tidak dibolehkan. Sebab itulah lelaki tadi (seperti yang diriwayatkan oleh 'Abd-ur-Rahman bin Wa'lah As-Sabaiy) telah mengosongkan uncang kulit yang penuh berisi arak itu sehingga ianya habis. Ringkasnya, lelaki itu menuangkannya sahaja. Maka itu, ia bukanlah suatu pembaziran sebab membuangkan yang haram itu adalah sebagai melaksanakan perintah ALLAH dan Rasul-Nya. 

5) Bagaimana mungkin kita katakan ia bertujuan mengelakkan pembaziran sedangkan arak atau daging babi itu adalah perkara yang diharamkan ALLAH. Jadi maksud firman ALLAH di dalam surah Al-Isra':27 : "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu itu adalah saudara-saudara syaitan" tidaklah terpakai kepada perkara-perkara tersebut kerana meminum arak dan memakan daging babi itu perbuatan yang disukai syaitan.

6) Ya memang seakan-akan wujud matlamat menghalalkan cara kerana sesuatu niat yang baik itu mestilah juga disertai dengan perkara-perkara yang baik/halal dan tiada unsur-unsur haram atau shubhah di dalamnya.

7) Jika pasti bahawa kandungan arak atau babi itu sangat sedikit seperti perasa di dalam bahan-bahan makanan atau minuman atau apa-apa produk yang berkaitan, maka pada ketika itu ia boleh dihadiahkan kepada non-Muslim kerana tidak ada sebab yang menyebabkan penerima menjadi mabuk atau betul-betul menikmati daging babi.

8) Cara terbaik dalam isu ini ialah sama ada memulangkan semula ke kedai atau pemberinya, dan jika sukar melakukan ini (misalnya kedai itu jauh atau jika dikembalikan kepada pemberi mungkin membawa mudarat yang lebih besar), maka lebih baik iadibuangkan sahaja seperti yang dilakukan oleh lelaki di dalam hadis di atas.

Saya harap jawapan-jawapan saya ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada Moeiid.

WalLahua'lamubissawab.

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB