Antara Hari Natal/Krismas dan Toleransi

Thursday, 20 December 2012 0 comments

Antara Hari Natal/Krismas dan Toleransi

Oleh: Hariz Said (Editor) 



(Penulis ingin mulakan dengan lafaz Bismillah dan satu notis bahawa penulis bukannya ustaz atau orang alim, hanyalah seorang pelajar perubatan tahun ketiga)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

"Eh, macam mana ni Ali? Kawan PBL aku bagi aku kad Krismas. Rasa teruk kalau kita buat bodoh sahaja."

"I know, Ahmad. Setiap kali diorang wish aku 'Merry Christmas', aku tak tahu nak jawab apa. Aku takut diorg nampak I macam sombong."
.....

"Abang, kat sekolah tadi, budak-budak diminta buat Kad Krismas untuk ibu bapa mereka. Fatin buat kad untuk kami. Macam mana ni? Pastu Abang, Fatin macam sedih tengok kawan-kawan dia terlibat dalam Christmas play tetapi dia tidak boleh. Kesian dia, Abang. Dia hanya 5 tahun.'
.....

Ini merupakan dilemma biasa pelajar Malaysia Muslim overseas apabila datangnya perayaan Hari Natal atau senang disebut Krismas. Berjalan-jalan di Liverpool One, mata terpersona dengan pelbagai hiasan masyarakat Barat menyambut Hari Natal. Ada pokok Krismas besar, ada lampu sini dan sana, kedai-kedai kecil menghiasi Christmas Market di Liverpool. Kita dapat lihat dalam negara sekular seperti England pun, tidak dapat sampai hati meninggalkan tradisi sambutan Hari Krismas. Krismas sudah menjadi satu perayaan yang sangat bermakna kepada masyarakat Barat sehinggakan mereka ingin kongsi kegembiraan itu bersama orang lain tanpa mengira bangsa mahupun agama. Senang cerita, cara mereka menghargai perayaan Hari Natal adalah sama dengan cara kita menghargai perayaan Hari Raya kita.


Memahami niat baik kawan-kawan kita


Sebelum saya olah hukum atau berbincang lebih lanjut, saya ingin pembaca fikir tentang hati kawan-kawan kita. Islam ialah agama yang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah (hablum minallah) tetapi turut menekankan aspek hubungan sesama manusia (hablum minannas). Sebelum kita melihat perayaan Hari Natal sebagai satu ancaman kepada akidah kita, mari kita sama-sama berfikir. Kawan-kawan kita seronok apabila tibanya Hari Natal. Bagi mereka, inilah masanya nak jumpa keluarga, membeli hadiah, buat jamuan dan parti. Perayaan Hari Natal merupakan hari mereka mengumpulkan orang-orang tersayang mereka dan sambut 'the spirit of togetherness' (berukhuwwah). Jadi, kalau kawan-kawan kita bagi kad, wish kita, atau ajak kita makan bersama, kita harus ingat niat baik mereka dan kita kena cuba tunjukkan Islam ialah agama yang tidak bercampur aduk dengan agama lain tetapi pada masa yang sama, bukan agama sombong atau agama yang membalas kebaikan dengan kejahatan.


Latar belakang perayaan Hari Natal


Saya pasti sudah ada banyak laman web yang boleh menceritakan asal usul Hari Natal. Di sini, saya tidak akan berbincang secara dalam hanya pada permukaan. Hari Natal dikaitkan dengan kelahiran Nabi Isa A.S. Sebagai umat Islam, kita wajib beriman dengan Nabi Isa A.S tetapi Islam (sejak Nabi Isa AS) tidak pernah menganjur perayaan kelahiran Nabi Isa A.S. Maka, kita faham bahawa Hari Natal bukannya perayaan Islam ataupun golongan Mukmin dan Muslim pada zaman Nabi Isa AS.

Kalau kita teliti cara sambutan Hari Natal oleh masyarakat Barat, kita dapati banyak tradisi seperti pokok krismas, bertukar hadiah, memberi kad Krismas, berkumpul ramai-ramai dalam jamuan tidak mempunyai latar keagamaan. Tradisi yang betul-betul berlatarkan agama Kristian dari segi amalan penyembahan ialah Christmas Mass (kalau kita ada Solat Raya, mereka ada Sembahyang Krismas). Tradisi caroling tidak termasuk amalan gereja tetapi lirik lagu sesetengah lagu mengandungi lirik yang mengagungkan Nabi Isa AS sebagai Tuhan atau berbentuk keagamaan. Tradisi lain seperti makan malam Krismas, bertukar hadiah, pokok krismas dan Santa Claus merupakan tokok tambah masyarakat Eropah sama ada daripada amalan pra-Kristianisasi atau yang diadakan sempena orang alim Kristian yang datang kemudian (St Nicholas = Santa Claus).

Kesimpulannya, kita dapat lihat bahawa bukan semua tradisi Krismas bersifat keagamaan dan kebanyakannya merupakan tokok tambah budaya barat.


Hukum yang berkaitan Krismas


Sebenarnya, saya tidak gemar memberi satu senarai fatwa apa yang pembaca boleh buat dan tidak. Apa yang saya ingin dedahkan kepada para pembaca bahawa bukan semua hukum berkaitan akidah dan terdapat beberapa khilaf antara ulama Barat. Kalau kita berada di Timur Tengah, senanglah untuk kita ambil fatwa yang mengharamkan bukan sahaja menyambutnya tetapi semua benda mengenainya termasuk membalas Christmas greetings. Walau bagaimanapun, kita bukannya berada di Timur Tengah ataupun di negara Majoriti Muslim seperti tanah air kita, kita harus faham sensitiviti isu ini di Barat. Kemungkinan boleh menggugatkan hubungan orang Islam dengan orang Kristian sekiranya kita tidak berhati-hati.

Pertama, saya mengakui bahawa memang ada pendapat yang mengharamkan terus semua benda berkaitan dengan Krismas termasuklah Christmas Dinner, membalas kad Krismas, pergi jamuan Krismas, dan apa-apa yang ada kait dengan Krismas. Pendapat ini berdasarkan hadith,
"Barang siapa menyerupai satu kaum maka mereka adalah dari mereka."
[Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud.]
Islam merupakan agama yang menekankan penjernihan akidah. Seelok-eloknya, umat Islam sentiasa berusaha untuk tidak mencemarkan akidah dengan pegangan bukan Shari'i.

Terdapat juga pendapat lain yang membenarkan beberapa perkara seperti membalas Christmas greeting dan membalas hadiah. Pendapat ini turut membenarkan menghadiri Christmas Dinner bagi Mualaf yang keluarganya masih beragama Kristian. Perkara ini berdasarkan konsep adab dalam Islam dan menjaga hubungan baik dengan masyarakat Barat di negara majoriti bukan Islam. Dalam Islam, kalau orang membuat kebaikan kepada kita, kita disuruh membalas kebaikan dengan kebaikan.
Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. [An-Nisa(4):86]
Walau bagaimanapun, semua ulama tegas mengatakan untuk tidak turut serta dalam upacara sembahan seperti Christmas Mass, upacara mengagungkan Nabi Isa AS sebagai anak tuhan seperti caroling, dan tradisi lain yang mengandungi perkara haram seperti arak dan pergaulan bebas walaupun tidak bersifat keagamaan. Untuk memudahkan perbicaraan, membalas ucapan Krismas dengan ucapan yang baik dibenarkan oleh golongan ulama ini.

Boleh lihat rujukan yang saya lampirkan sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut mengenai perbincangan ini daripada dua perspektif yang berbeza.


Christmas Dinner Anjuran Persatuan Malaysia Luar Negara


Baru-baru ini, kebanyakan kawan-kawan bertanya mengenai hukum pergi ke jamuan akhir tahun dan ramai yang khuatir untuk pergi kerana takut jamuan tersebut menyalahi akidah umat Islam. Saya telah menerangkan secara ringkas hukum beberapa perkara secara umum dan anda boleh teliti rujukan yang saya lampir untuk tahu lebih lanjut.

Di sini, saya ingin membuat penerangan kepada masyarakat Malaysia dan cadangan tambah baik bagi mana-mana Persatuan Malaysia yang ingin buat jamuan akhir tahun.

Penerangan:

1) Kebanyakan Persatuan Malaysia menerangkan kepada saya bahawa niat mereka membuat jamuan ini adalah sebagai aktiviti akhir tahun dan menutup separuh penggal dengan aktiviti makan-makan yang masyarakat Malaysia sangat suka.

2) Jamuan-jamuan ini tidak dibuat sebagai tanda mengingati kelahiran Nabi Isa AS tetapi untuk memberikan suasana kekeluargaan bagi pelajar Malaysia yang bukan beragama Islam. Bagi kebanyakan mereka, inilah kali pertama mereka menyambut perayaan tanpa kehadiran keluarga mereka.

3) Jamuan-jamuan ini tiada unsur penyembahan Nabi Isa AS sebagai anak tuhan.

Cadangan tambah baik:
(Saya menghargai niat murni Persatuan-persatuan Malaysia Luar Negara tetapi saya rasa boleh jadi lebih 'shariah compliant' tanpa mengkompromi banyak benda)

1) Mensekularkan jamuan akhir tahun. Saya rasa tidak salah untuk mengadakan jamuan akhir tahun tetapi lebih molek sekiranya kita ketepikan unsur Krismas agar orang ramai tidak akan keliru dan memberi kelegaan kepada masyarakat Islam untuk memberi semangat kekeluargaan kepada kawan bukan Islam. Ini termasuk mengetepikan tradisi berunsur Krismas seperti kad Krismas dan hiasan Krismas.

2) Tidak melakukannya pada Hari Krismas (25 December) atau hari berdekatan tarikh tersebut. Biar betul-betul nampak jelas bahawa jamuan-jamuan ini bukan dibuat atas niat menyambut Hari Krismas.

3) Membuang semua unsur haram seperti arak, pergaulan bebas dan clubbing. Di sini, saya reach out kepada golongan bukan Islam dapat memahami beberapa benda haram dalam agama kita. Saya tidak menyalahkan anda sekiranya anda tidak pernah tahu tetapi saya rasa lebih baik kita sama-sama tahu supaya dapat elakkan apa-apa salah komunikasi yang tidak patut berlaku.

Arak: Ketahuilah bahawa umat Islam haram pergi ke tempat yang dikhususkan untuk minum arak seperti bar atau pub. Tahap pengharamannya sangat tinggi sehingga umat Islam diharamkan duduk semeja dengan orang yang sedang minum arak.

Pergaulan bebas: Bukan sahaja setakat tidak boleh bersentuhan, kena jaga pandangan dan jarak sekiranya tiada alasan shari'i. Jadi, ini merangkumi beberapa aktiviti seperti clubbing, tari-menari dan lakonan.


Refleksi


Pernah tak kita lihat kawan-kawan bukan Islam kita mengucapkan 'Selamat Hari Raya' kepada kita dan datang ke rumah kita apabila kita jemput mereka? Jika pernah, apa perasaan kita? Tentulah gembira. Cuba bayangkan kalau mereka membalas ucapan kita dengan tidak mengendahkannya atau tidak hadir undangan kita. Apa perasaan kita?

Kalau kita balas kebaikan mereka dengan kejahatan, bukankah kita akan buat mereka lebih jauh kepada Islam dan memberi persepsi bahawa Islam agama yang tidak pandai jaga adab? Hubungan sesama manusia memang susah nak jaga tetapi untuk kebaikan umum dan dakwah kepada Allah subhanahu wa taala.


Akhir kata


Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepentingan menjaga hubungan antara kita dan golongan bukan Islam agar mereka dapat melihat keindahan Islam tetapi pada masa yang sama, berpegang teguh dengan akidah Islam. Saya akui bahawa saya sendiri pernah terlajak atas kejahilan diri dan ketakutan untuk menyuarakan prinsip saya. Walau bagaimanapun, saya masih ingin berusaha mengeratkan hubungan orang Islam dan bukan Islam terutamanya kita yang berada di negara orang bukan Islam dan akan pulang ke nagara majmuk seperti Malaysia.

Kepada kawan Kristian saya, saya mungkin berat nak ucap 'Merry Christmas' tetapi saya ingin doakan kesejahteraan kalian dalam menjumpa keluarga anda dan semoga anda berbahagia pada musim cuti ini.
Saya mendepakan tangan saya dan menjemput anda mengenal Islam dan akhirnya memeluk Islam agar kita boleh berkongsi amal ibadah dan perayaan yang diberkati Allah. Harap memadailah bagi kalian sekiranya saya ucapkan 'Happy holidays'.

Rujukan:
All Things Christmas
Christmas Celebrations (10+ Fatwas)
Should he respond to non-Muslims when they wish him a Happy New Year?

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB