Berdakwah dengan pena = Berjihad dengan pedang

Sunday, 9 September 2012 0 comments

Berdakwah Dengan Pena = Berjihad Dengan Pedang

Oleh: Hariz Said (Editor)


Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;
(An-Nisa'(4):95)


Saya sering dengar rintihan sahabat-sahabat saya yang menyatakan kekecewaan dia apabila membaca ayat di atas kerana mereka tidak ada upaya mahupun peluang untuk berjihad sepertimana saudara kita di Palestin dan Syria. Usahlah bersedih kerana jihad tidak terbatas kepada menghunus senjata.

Mari kita lihat beberapa definisi jihad*:

- Menurut Ibn Abbas : Jihad bermaksud menggunakan kemampuan yang ada pada jalan dakwah /jihad dan tidak takut kepada celaan orang lain pada jalan Allah.

- Manakala menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti : Jihad ialah berusaha meninggikan kalimah Allah, membentuk sebuah masyarakat Islam, menggunakan usaha melalui peperangan sebahagian daripadanya. Adapun matlamatnya ialah membentuk masyarakat Islam dan mendirikan negara Islam.
   Oleh itu, jihad menurut pengertian khas ialah berperang fi sabilillah. Adapun maknanya secara umum ialah ; kehidupan kita umumnya bermula daripada peringkat awal sehinggalah pengakhiran kehidupan seseorang itu adalah jihad.

Jadi, jihad tidak semestinya berada di hujung bilah pedang kerana skop jihad sebenarnya itu sangat luas. Maka, usahlah kita buang cita-cita untuk jadi mujahidin. Sekarang, kita yang hanya memegang sebatang pen pun ada peluang untuk berjihad di jalan Allah.

Pernah dengar pepatah Inggeris 'the pen is mightier than the sword' (pena itu lebih kuat daripada pedang)? Ini pula versi Islamnya:
"Dakwat para ulama (yang digunakan dalam penulisannya) ditimbangkan pada Hari Kiamat dengan darah para syuhada dan dakwat para ulama itu lebih berat daripada darah para syuhada"**
Pengajaran yang kita boleh ambil daripada dua ungkapan di atas ialah betapa tingginya darjat dakwah dalam perjuangan Islam. Betul bahawa perang memain peranan dalam meluaskan wilayah Islam tetapi tidak mungkin Islam boleh bertahan lama tanpa sokongan rakyat jelata. Di situlah kita lihat peranan dakwah. Dakwah mampu melunakkan hati manusia dan menukar mereka daripada musuh kepada pendokong. Apabila ramai pendokong, Islam menjadi lebih mudah untuk ditegakkan. Terbuktilah peranan dakwah dalam perkembangan syiar Islam dan bersesuaian definisi di atas mengenai jihad.

Sekiranya dakwah ini jihad, siapakah musuh yang dilawan melaluinya? Musuhnya ialah kejahilan dan taghut. Kejahilanlah yang menyebabkan umat manusia bertindak melawan wahyu Allah kerana manusia tidak cuba memahami meskipun diberikan pancaindera dan hati. Taghut pula perkara yang melampau ke arah kebatilan, kezaliman dan kejahatan, jauh daripada kebenaran, keadilan dan kebaikan. Kedua-duanya merupakan musuh utama Islam. Kebanyakan masalah dalam dunia Islam berpunca daripada kedua-duanya. Apabila umat Islam jahil mengenai keadilan Islam, umat Islam menolak Islam dan mencari jalan yang bertentangan dengan Islam. Apabila umat Islam menjadikan taghut itu sebagai pedoman, tidak peliklah sekiranya kezaliman dan penindasan berleluasa.

Saya sarankan kata-kata ini kepada kawan-kawan yang ingin digelar mujahidin, marilah kita ambil pena (atau keyboard) dan sebarkan risalah Islam melalui tulisan. Janganlah kita berhenti apabila selesai sesebuah karangan, teruskan perjuangan dengan mulut sepertimana yang saya pernah belajar dalam Business Management Studies (Pengajian Pengurusan Perniagaan):
'The word of mouth is the best form of promotion'
(Mulut ke mulut merupakan alatan promosi (eg iklan) yang terbaik)
Wallahu a'lam.

* Perjuangan dan Pengorbanan oleh Ustaz Nasruddin At-Tantawi
http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.co.uk/2006/08/perjuangan-dan-pengorbanan-1.html
** Disebut oleh Al-Sayuti dalam kitab Al-Jami Al-Saghir bahawa hadith ini lemah. Hadith dhaif boleh digunakan untuk mengambil ibrah atau pengajaran daripadanya.

0 comments:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 The Monumentalist | TNB